Saturday, July 17, 2010

Dreamworld @ Gold Coast, Australia


11 Jun 2010

Hari ini hari terakhir saya berada di Australia tetapi hari ini saya akan pergi ke Dreamworld. Saya bangun pada pukul enam pagi kerana bas kami sampai pada pukul tujuh pagi. Kali ini, saya mandi dahulu kerana ibu dan bapa saya hendak menonton televisyen sebelum mandi. Selepas kami mandi, kami bersarapan di restoran hotel lagi. Apabila bas kami tiba, kami naik dengan cepat dan bercerita tentang Dreamworld.

Ibu saya memberitahu saya perjalanan akan mengambil masa selama sejam untuk sampai ke Dreamworld dari hotel kami. Ibu saya juga memberitahu saya Dreamworld adalah tempat yang ada paling banyak permainan berbanding dengan tempat-tempat lain yang telah kami lawati. Saya mula membayangkan bagaimana agaknya rupa Dreamworld. Dalam perjalanan kami, saya nampak sebuah kedai yang menjual pistol.

Apabila tiba di Dreamworld, saya sangat ghairah dan mula berlari sehingga ibu saya tidak boleh mengejar saya. Apabila masuk Dreamworld, di hadapan pintu masuk sudah ada sebuah permainan. Saya terkejut ketika melihat permainan itu. Permainan pertama yang saya gemari adalah Runaway Reptar Rollercoaster kerana permainan itu sama dengan Road Runner Rollercoaster. Cuma dalam permainan ini, kaki saya tergantung di udara. Permainan kedua yang saya gemari adalah Motor Coaster kerana saya menaiki sebuah motor yang bergerak dengan laju di landasan. Permainan ketiga yang saya suka adalah Wipeout kerana permainan itu membuat saya berasa seperti seorang juruterbang yang mahir menerbangkan sebuah kapal terbang secara terbalik. Ada juga lagi permainan seperti The Claw, SpongeBob FlyPants dan Avis Vintage Cars.

Kami pulang pada pukul lima petang. Sebelum bas kami tiba, kami makan sejenis makanan yang tidak dijual di Singapura yang dipanggil churos. Pada pendapat saya, churos rasanya seperti roti prata. Cuma churos bukan bulat seperti roti prata. Selepas itu, kami membeli beberapa cenderahati. Akhirnya, bas kami tiba. Kami menaiki bas dan pulang ke hotel. Saya pasti saya akan pergi ke Australia lagi.

No comments:

Post a Comment