Friday, July 30, 2010

Harijadi Datuk





25 Julai 2010

Saya telah pergi ke rumah datuk saya di Toa Payoh hari ini. Datuk saya menyambut harijadinya yang ketujuh puluh tahun. Pada sebelah paginya, ibu saya telah sibuk menyiapkan juadah untuk dibawa ke rumah datuk. Saya tidak menolong ibu tetapi saya tahu makanan yang disediakannya itu sedap. Apabila sampai di sana, saya bermain dengan sepupu lelaki saya yang bernama Amirul. Kita bermain bola di luar rumah. Bapa saya menyuruh saya masuk kerana kami berbuat bising. Selepas membaca doa selamat, saya pun makan. Nenek saya memasak tulang dan mi hun goreng. Saya tidak suka makan tulang. Saya makan roti dan kek. Semasa di sana, saya juga menonton televisyen bersama adik-adik saya. Saya tidak membeli apa-apa hadiah untuk datuk saya. Bapa saya telah memberi datuk saya wang. Apabila sudah pukul sepuluh malam, kami pun pulang ke rumah.

Berenang Di Kolam Renang Sengkang




24 Julai 2010

Pada hari ini, saya sekeluarga pergi ke Kolam Renang Sengkang. Saya suka pergi ke kolam renang ini kerana ada gelongsor air. Apabila tiba di sana, ibu membeli tiket masuk daripada mesin tiket. Saya kemudian menukar pakaian dan memakai seluar dan baju renang saya. Mula-mula, saya dan adik-adik kembar saya bermain air dan berenang di kolam untuk kanak-kanak. Sesudah itu, ibu saya mengajak saya menaiki gelongsor air. Ibu menyuruh bapa saya menjaga adik-adik saya. Bapa saya tidak berenang dan duduk menjaga barang-barang kami. Pada pertama kali menggelongsor turun, saya berasa agak takut. Semakin saya bermain gelongsor itu, semakin seronok. Setelah puas berenang, kami pun mengeringkan diri lalu menyalin pakaian. Sebelum pulang, kami makan malam di MacDonalds. Saya makan burger keju dan aiskrim. Setelah kenyang, kami pun pulang ke rumah.

Tuesday, July 27, 2010

Hari Keharmonian Kaum

21 Julai 2010

Hari ini Hari Kehamonian Kaum. Ada banyak gerai yang menjual makanan berbilang kaum di kantin sekolah saya. Semua gerai itu dibuat oleh cikgu-cikgu di sekolah saya. Ada juga permainan tradisional yang dijual. Setiap murid telah dapat dua kupon untuk membeli dua jenis makanan dari dua gerai di situ. Ada sebanyak tujuh gerai kesemuanya sekali. Setiap darjah ada masa tertentu yang diberikan untuk pergi ke kantin. Beberapa orang cikgu juga memakai baju tradisional untuk hari ini. Baju tradisional yang paling saya suka dipakai oleh cikgu muzik saya. Saya menyukainya kerana ada seekor naga di depan bajunya. Yang menggembirakan saya adalah waktu rehat para murid tidak dipotong dan para murid tidak perlu memakai baju tradisional. Waktu pulang juga tidak lambat. Saya gembira apabila cikgu saya memberitahu demikian. Saya tidak membeli apa-apa dari gerai-gerai itu. Saya gembira tinggal di Singapura yang penduduknya berbilang kaum.

Friday, July 23, 2010

Majlis Kenduri Menyambut Ramadan

Majlis kenduri di rumah makcik saya.


17 Julai 2010

Hari ini saya pergi ke rumah mak cik saya untuk kenduri sebelum Hari Raya Puasa. Kami pergi ke rumah mak cik saya pada pukul lima. Ibu saya berkata kenduri ini diadakan untuk menyambut bulan Ramadan. Apabila tiba di sana, saya gembira kerana semua saudara-mara saya datang juga. Sepupu saya cakap sesuatu yang membuat saya terperanjat. Dia memberitahu saya ada seekor kelawar di tangga. Saya hairan melihat kelawar itu sebab saya fikirkan kelawar hanya terbang di dalm hutan dan bukan di flat HDB.

Saya bermain permainan PSP sepupu saya sebelum membaca doa. Selepas itu, saya makan sambil menonton televisyen. Makcik saya menyediakan lauk pauk tradisional Melayu seperti daging rendang, acar dan kuah dalca. Walaupun lazat, saya lebih gemar memakan burger kerana ianya enak dan ringkas. Saya main permainan PSP sepupu saya sekali lagi selepas makan.

Selepas bermain, saya menolong ibu saya di dapur. Saya menolong ibu membungkus nasi berkat untuk dibawa pulang. Saya bermain dengan sepupu saya yang lain sesudah membantu ibu saya. Saya sekeluarga pulang ke rumah pada pukul lapan malam. Saya berasa sedih apabila mesti pulang kerana belum puas bermain bersama sepupu saya. Walaupun saya berasa sedih kerana mesti pulang, saya masih gembira kerana dapat ke rumah mak cik saya.

Studio Animasi Pixar di Pusat Sains Singapura

Illusi Optikal membuat kepala
saya kelihatan terpancung

Bapa saya beraksi seperti Buzz Lightyear
dari filem animasi Toy Story!

26 Jun 2010

Saya sudah pulang dari Australia tetapi saya masih pergi ke sebuah tempat yang seronok di Singapura. Tempat itu adalah pameran Studio Animasi Pixar yang diadakan di Pusat Sains Singapura. Saya sekeluarga pergi ke sana sempena hari jadi ibu saya. Saya ingin sekali melihat pameran Studio Animasi Pixar dan menyaksikan gerhana bulan yang akan berlaku pada hari itu. Tempat pertama yang kami pergi adalah pameran Studio Animasi Pixar. Ada banyak watak-watak kartun yang dipamerkan. Ada watak-watak seperti Woody dari Toy Story, Mike Wazowski dari Monster's Inc. dan Russell dari Up. Ada juga watak-watak kartun lain daripada filem seperti Cars.

Selepas melihat pameran Studio Animasi Pixar, kami masuk ke dalam Pusat Sains Singapura. Pada pendapat saya, Pusat Sains Singapura lebih seronok daripada pameran Studio Animasi Pixar. Bahagian pertama yang kami masuki adalah bahagian ilusi. Bahagian ini membuat saya terkejut. Bahagian kedua yang kami pergi adalah bahagian laut. Bahagian ini sungguh cantik kerana setiap tangki ikan telah dihias dengan cantik. Bahagian ketiga saya pergi ialah bahagian bunyi. Bahagian ini tidak ada banyak barang yang menarik.

Akhirnya, kami pergi ke kawasan untuk melihat gerhana bulan. Gerhana bulan itu bermula pada pukul tujuh malam. Oleh kerana sudah agak lewat, kami pulang tanpa menyaksikan gerhana bulan melalui teropong yang disediakan. Walaupun saya tidak dapat melihat gerhana bulan, saya berpuas hati kerana masih dapat menyaksikan pameran Studio Animasi Pixar dan Pusat Sains Singapura.

Saturday, July 17, 2010

Dreamworld @ Gold Coast, Australia


11 Jun 2010

Hari ini hari terakhir saya berada di Australia tetapi hari ini saya akan pergi ke Dreamworld. Saya bangun pada pukul enam pagi kerana bas kami sampai pada pukul tujuh pagi. Kali ini, saya mandi dahulu kerana ibu dan bapa saya hendak menonton televisyen sebelum mandi. Selepas kami mandi, kami bersarapan di restoran hotel lagi. Apabila bas kami tiba, kami naik dengan cepat dan bercerita tentang Dreamworld.

Ibu saya memberitahu saya perjalanan akan mengambil masa selama sejam untuk sampai ke Dreamworld dari hotel kami. Ibu saya juga memberitahu saya Dreamworld adalah tempat yang ada paling banyak permainan berbanding dengan tempat-tempat lain yang telah kami lawati. Saya mula membayangkan bagaimana agaknya rupa Dreamworld. Dalam perjalanan kami, saya nampak sebuah kedai yang menjual pistol.

Apabila tiba di Dreamworld, saya sangat ghairah dan mula berlari sehingga ibu saya tidak boleh mengejar saya. Apabila masuk Dreamworld, di hadapan pintu masuk sudah ada sebuah permainan. Saya terkejut ketika melihat permainan itu. Permainan pertama yang saya gemari adalah Runaway Reptar Rollercoaster kerana permainan itu sama dengan Road Runner Rollercoaster. Cuma dalam permainan ini, kaki saya tergantung di udara. Permainan kedua yang saya gemari adalah Motor Coaster kerana saya menaiki sebuah motor yang bergerak dengan laju di landasan. Permainan ketiga yang saya suka adalah Wipeout kerana permainan itu membuat saya berasa seperti seorang juruterbang yang mahir menerbangkan sebuah kapal terbang secara terbalik. Ada juga lagi permainan seperti The Claw, SpongeBob FlyPants dan Avis Vintage Cars.

Kami pulang pada pukul lima petang. Sebelum bas kami tiba, kami makan sejenis makanan yang tidak dijual di Singapura yang dipanggil churos. Pada pendapat saya, churos rasanya seperti roti prata. Cuma churos bukan bulat seperti roti prata. Selepas itu, kami membeli beberapa cenderahati. Akhirnya, bas kami tiba. Kami menaiki bas dan pulang ke hotel. Saya pasti saya akan pergi ke Australia lagi.

Wednesday, July 14, 2010

Paradise Country @ Gold Coast, Australia







10 Jun 2010

Hari ini saya pergi ke Paradise Country dan Harbour Town. Saya dan keluarga saya bangun pada pukul enam pagi kerana hari ini bas kami akan tiba pada pukul tujuh pagi. Selepas mandi, kami pergi bersarapan di restoran hotel itu lagi. Selepas kami makan, kami pergi ke lobi dan menaiki bas.

Di dalam bas, ibu memberitahu saya bahawa Paradise Country terletak di sebelah Movieworld sahaja. Apabila sampai di Paradise Country, bau binatang ternakan seperti kambing dan kuda, sungguh kuat. Apabila tiba di sana, pelancong lain yang naik bas bersama kami kelihatan seperti hendak muntah. Saya sendiri berasa seperti hendak muntah.

Kami menaiki trem kerana pintu masuk ke Paradise Country agak jauh. Apabila sampai di pintu masuk tempat itu, bau binatang dua kali lebih kuat daripada bau yang terdapat di perhentian bas tadi. Nasib baik saya sudah biasa dengan bau itu!

Sebelum kami masuk, kami mesti menunjukkan tiket. Selepas kami menunjukkan tiket kami, saya mengambil peta. Binatang pertama yang kami nampak ialah anak kambing. Selepas itu, kami menonton persembahan yang menunjukkan cara membuat Billy Tea dan Bread Damper. Selepas itu, kami pergi ke persembahan yang lain seperti pertunjukan cara membuang boomerang dan persembahan cara mencukur bulu kambing.

Sebelum bas kami datang untuk pergi ke Harbour Town, kami makan dahulu. Selepas itu, kami menaiki bas untuk pergi ke Harbour Town. Perjalanan mengambil masa 30 minit untuk tiba ke Harbour Town dari Paradise Country. Apabila sampai ke Harbour Town, jam sudah menunjukkan pukul empat petang. Di Harbour Town, kami membeli-belah. Ibu saya sangat gembira ketika berada di Harbour Town kerana dia dapat membeli-belah. Dia telah membeli 5 pasang kasut baru! Saya tidak suka apabila ibu menyuruh saya mencuba baju yang hendak dibelikan untuk saya. Seperti bapa saya, saya juga tidak minat untuk membeli belah. Saya gembira apabila tiba masa untuk menaiki bas balik ke hotel. Walaupun saya tidak suka membeli-belah, saya gembira dapat melihat tempat-tempat yang baru.